Friday, January 1, 2010

Sayu bertandang


Alhamdulillah.

Hari ini 01 Januari 2010. Semalam saya ke Hospital Sungai Buloh. Setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke hospital, semalam saya mengambil keputusan mengikut emak dan ayah ke sana. Melawat seseorang yang bukan asing lagi bagi diri saya sejak di bangku sekolah rendah.

Waktu melawat bermula jam 4.30 petang. Kami sampai awal, jadi terpaksalah menunggu beberapa minit sebelum dibenarkan masuk ke wad.

Sepanjang masa menunggu, saya melihat gelagat para doktor yang bergegas ke sana sini. Berkesempatan juga saya menyaksikan ibu yang mengendong bayi kecil yang baru keluar dari wad. Bersama seorang lelaki yang sentiasa tersenyum di sebelahnya. 'Cahaya mata pertama agaknya,' desis hati saya.

Itu khabar gembira. Berbeza dengan pesakit yang bakal saya jenguk sebentar lagi. Saya tidak pasti bagaimana keadaannya. Saya siapkan mental saya untuk berhadapan dengannya. Sejak dari dalam kereta saya tidak banyak bercakap.

Sudah lama kami tidak bersua. Walaupun jarak rumah bukan penghalang, entah mengapa kami jarang sekali berjumpa. Kadang-kadang selisih di jalanan, senyuman menjadi medium perantara kami.

Dahulu

"Adik ingat lagi tak, dulu adik selalu buli Hazirah kan," kata emak semasa di dalam kereta.

"Ingat," saya menjawab pendek.

Kami tinggal satu taman. Taski bersama. Seterusnya menjejakkan kaki ke sekolah rendah bersama. Namun Hazirah melanjutkan pelajaran ke SMAP Labu dan saya masih setia di sini.

Kami berbeza. Dia lemah lembut, saya kasar.

Sewaktu usia 5-6 tahun di taski, dia selalu menjadi mangsa buli saya. Tapi dia hanya berdiam, tersenyum apabila dikenakan. Kasihan Hazirah mendapat teman seperti saya.

"Tak baik tau buat Hazirah macam tu. Hazirah baik, jangan la buli dia. Kawan dengan dia elok-elok," emak memesan kepada saya setelah mendapat tahu anak bongsunya ini sering mengenakan kawannya.

Takdir menentukan segalanya. Semasa di sekolah rendah, kami menjadi teman akrab. Lebih-lebih lagi di sekolah agama. Hazirah, Faiqah dan saya sering bersaing mendapat tempat terbaik di dalam kelas. Seronok apabila mengenang kembali.

Kami berbasikal ke sekolah bersama. Duduk di dalam satu kumpulan. Menghafaz bersama. Berkongsi cerita. Pendek kata, kami memang rapat.

Kini

'Wad Ortopedik 2.' Itu yang tertera di penglihatan saya.

Kami berjalan perlahan. Membelok ke kanan dan saya melihat sekujur tubuh tak bermaya. Wayar dan tiub menjadi temannya. Ayahnya sentiasa di sisi. Saya dikhabarkan ibunya berada di surau.

Emak mendekati Hazirah. Saya menurut.

Saya dengar emak memanggil namanya perlahan lalu matanya celik. Pandangannya dihalakan ke arah saya. Saya menghadiahkan senyuman yang saya pasti tidak dapat menghilangkan sakit yang ditanggung.

Tiba-tiba saya lihat ada air jernih mengalir keluar dari matanya. Hati saya jadi sebak lalu saya alihkan pandangan ke arah lain. Saya lihat muka emak kemerah-merahan menahan sebak di dada. Air mata ayah bertakung di kolam mata.

Kami senyap buat seketika. Beberapa minit kemudian barulah emak dan ayah berbicara bersama bapa Hazirah. Dan saya masih membisu kerana saya pasti tangis saya akan kedengaran jika saya memulakan kata.

Saya tidak sanggup melihat ujian yang ditanggungnya. Hazirah baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang. Tulang belakangnya bengkok dan menyebabkan paru-parunya terhimpit. Justeru, dia sukar bernafas. Jumlah oksigen yang disedut sedikit. Lebih kurang begitulah cerita yang sampai di telinga saya.

Sebelum melaksanakan pembedahan, doktor telah memaklumkan risiko yang bakal menimpa. Hazirah berkemungkinan akan lumpuh memandangkan ia melibatkan tulang belakang dan dia juga berisiko tinggi terkena jangkitan kuman.

Namun ibu bapanya hanya mampu bertawakal dan mengharapkan Allah selamatkan Hazirah. Pasti mereka tidak sanggup melihat anak kesayangan menanggung derita sepanjang hayat. Usaha perlu diambil. Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, pembedahannya berjalan lancar.

Sayu bertandang

Semasa ingin pulang, saya bersalaman dengan ibu Hazirah. Matanya merah. Sudah beberapa hari tidak tidur kerana menjaga Hazirah.

Saya memandang Hazirah. Ingin sekali saya memeluknya. Menghadiahkan kata-kata semangat untuk terus berjuang dalam hidup. Tapi saya pula yang lemah. Mulut saya seperti dikunci. Saya melihat dirinya, kemudian mengenangkan diri saya.

Hazirah memang kuat. Oleh yang demikian Allah mengujinya dengan ujian yang pasti boleh digalasnya. Terselit rasa cemburu di hati saya. Hazirah bertuah kerana Allah menyayanginya dengan menghadiahkannya dengan ujian yang bukan calang-calang orang boleh hadapinya. Saya pun belum pasti dalam menempuhnya jika diuji sebegitu rupa.

'Syafakillah Hazirah,' kalimah itu yang terlantun dari relung hati saya.

Inna ma'al 'usri yusro. Pasti Allah menyediakan ganjaran yang hebat buat Hazirah. Bersabarlah Hazirah, sesungguhnya Allah menyayangimu.

Sama-samalah kita doakan supaya Siti Nur Hazirah binti Kamaruddin terus tabah menghadapi dugaan hidupnya. Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik setelah ujian yang menimpa.

Sayu bertandang tatkala keperitan dikenang.

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..