Friday, December 30, 2011

Lupa ke cik abang?

Sementara tunggu ayah solat jumaat, saya ronda-ronda dulu jadi khalifah :D

Kat tangan dah ada sebungkus keropok lekor, beli sebelum ayah masuk masjid. Tapi rasa tertarik nak beli pisang goreng dekat satu gerai ni. Bukan tertarik dengan pisang goreng dia (yang terdedah) tapi si penjual ni yang 'attractive'.

Dia lelaki, muka melayu, diapit dua perempuan bertudung. So i assumed he is moslem.

'Hmm..hmm biasa solat jumaat kat sini selesai pukul berapa ye?'

'Ha? Entah la. Tak tau sangat pasal tu (sambil memuncungkan mulut ke arah bangunan berkubah tak sampai 500m depan dia). Memang tak biasa sangat, tak tau la'

Rasa nak nangis.

Tak tau? Boleh tak tau?

Dia bukan duduk dekat dalam belantara yg perlu redah onak duri makan masa berjam jam jalan kaki baru sampai masjid. Depan mata. Ya, depan mata je. Jawapannya, 'tak tau'?

Saya bukan nak kata pasal dia sorang. Sebab rupa-rupanya ramai. Ramaaaaai lagi yg tengah 100% guna nikmat ALLAH tp lupa nikmat tu untuk apa. Lupa atau buat-buat lupa? Wallahu a'lam.

Khutbah dah habis, saf dah bersusun, imam dah takbir.

Tapi...

Ish. Ingat solat jumaat ni hanya rutin hari jumaat yang tak penting tak ada kesan tak ada manfaat ke?

Ok, tu satu. Yang tak pergi langsung.

Ada juga yang pergi, tapi jasad je. hati dah melayang. kepala dah tersengguk-sengguk. mata dah kuyu. mulut tak tau la berapa kali dah menguap.

Saya bukan main tuduh tuduh. Ni orang yang tersengguk-sengguk tu yang mengaku.

Eh, ingat khutbah tu sekadar nak cukupkan rukun je ke. Sekadar tu je?

Mungkin ramai tak puas hati. Eh perempuan, kenapa kau sibuk-sibuk pasal lelaki. Ini bukan sibuk, tapi ambil kisah.

Untuk mujahidin,



'Wahai orang-orang yang beriman! Apabila telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah..'

dan untuk yang berjual beli,

'...tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui' [63:9]

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Wednesday, December 7, 2011

Memang kami bercinta


Hari tu saya bawa housemate saya, XX, balik rumah, ada family gathering. Makcik saya tanya kawan saya ni;

Mak Yang: XX ni ada special BF ke?

Kami dah gelak guling guling.

XX: Eh tak ada la Mak Yang (sambil tersipu-sipu)

Saya: Undang-undang rumah kitorang tu 'NO COUPLE', Mak Yang.

Kakak: Dik, kamu ke buat undang-undang tu? ;)

Saya: Tak la, ALLAH yang tetapkan :D


Mesti korang biasa jugak dengan 'fenomena' ni.

XY: weh, penat si X tu belajar rajin-rajin sebab nak tarik perhatian kau tau tak. dia belajar tu untuk kau. kau buat dek je.

XX: buat apa buat untuk aku.

XY: hmm dah dia suka kau.

XX: dah tu?

XY: hmm bagi la semangat untuk dia. kau tak bagi semangat, dia dah down.

XX: pastu?

XY: kau ni tak bersyukur la!

XX: ???


Rugi rugi rugi. Rasa cam nak suruh je dia refer hadith pertama,

'setiap amalan bergantung pada niat. semua orang mendapat pahala berdasarkan apa yang diniatkannya. barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu bagi Allah dan Rasulnya. barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang diperolehinya atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah pada apa yang diniatkan.'
[Bukhari and Muslim]


Contohnya A dengan B.

Si A ni memang betul-betul struggle study. 'Aku buat ni kerana Allah, untuk bangkitkan kegemilangan deen Islam ni macam zaman khalifah dulu.'

Si B pun study gila gila punya. 'Aku harap Minah pilih aku jadi teman sejati sehidup semati bila dia tengok aku berjaya nanti.'

Mungkin usaha A dengan B sama but deeds depend upon intentions. InsyaAllah A dapat pahala, B tak dapat apa-apa. Oh yela mungkin Minah betul-betul jatuh hati kat dia, tapi setakat dunia je la. Minah tak boleh bagi dia pahala. Berbaloi ke?

Terpulang kat hati kita. Nak pilih yang mana. Lelaki, tolonglah jangan lemah sebab perempuan. Perempuan, please jangan buat lelaki lemah.

Saya tertanya-tanya, di mana rijal?

video

For my future imam (whom I really don't know how he looks like, whats his name, where he lives), I hope, really hope, be the one that Umar had wished. I don't know you, frankly i don't have any idea where you come from, just I wish you are one of the rijal.

Okla mungkin ada pula perempuan yang cakap, lelaki kan pelindung perempuan. Salah ke nak rasa dilindungi? (berkerut muka saya menaip ayat ni).

Ok ok ok, memang Allah ada berfirman, 'lelaki itu pelindung bagi perempuan' [4:34]

Lepas tu, sesiapa yang ada tafsir, selak halaman berikutnya, 'cukuplah Allah menjadi pelindung dan cukuplah Allah menjadi penolong' [4:45].

Then, any comments?

Beberapa kali kawan saya duduk di hadapan, tiba-tiba air mata mengalir. sebab lelaki. bukan seorang dua, ramai. saya tak salahkan mereka. saya tak kata saya tak pernah diuji. tak. saya juga bukan anti lelaki. bukan.

Tapi kita ada cinta yang boleh kita fokuskan. lebih besar, lebih meluas, lebih syumul. indah. rasa dengan hati, cinta kat ALLAH tu sangat sangat indah. cukup Yang Satu.

Ada orang tanya, tak boring ke?

Ada nampak macam boring ke? :D
InsyaALLAH tak de istilah boring bila menilik kalam cinta-NYA. seriously ;)

Untuk bakal imam saya, jangan risau. Kat sini Allah jaga saya dan saya jaga hati ni untuk ALLAH. InsyaALLAH. Harap awak pun sama (its weird to talk to nobody but you know there is somebody). Kalau kita tak jumpa kat dunia, insyaALLAH bercinta di syurga ;)

Kalau kita sayang orang tu, jangan tarik dia ke neraka.

Saya minta maaf sangat kalau saya ada melalaikan syabab di luar sana sama ada sengaja atau tak. Maaf.

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..

Tuesday, December 6, 2011

Monolog dalaman nashwa: Dah berapa bulan?


..Ummi na tak update belogggg ni?

Okla, hari tu ummi na ada cakap dengan nashwa (kitorang bisik2 dua orang je), ummi na ada banyak cerita nak kongsi kat blog yang dah, fuhh fuhhh (boleh kena influenza masuk blog ni).

InsyaALLAH. pastu ada gambar tau (dah berderet entry tak ada gambar baru nak letak, apparaaaa).

Jumpa lagi biiznillah :) Sayang saudara saudari kerana ALLAH. <3 Kalau bukan kerana ALLAH, tak syok la kan kan kan.

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..

Saturday, November 12, 2011

Eh kita ada 'logam' rupanya.


Semalam mesej dengan akak. Teringat hadith manusia ibarat logam.

'Manusia ibarat logam,
terpilih dia waktu jahiliyyah,
terpilih dia semasa ISLAM. Sekiranya dia faham.'

[HR Abu Hurairah]


'Akak rasa apa logam akak?'

'Adik rasa logam adik apa?'

Eh eh, orang tanya dia, main lantun-lantun pula.

Yang pasti logam saya bukan pada berbicara atau berkata-kata. Memang out.

Semalam juga ada tautan ukhwah. Lujnah musolla dan kebajikan. Jadi saya pun terlibat. At 11th hour, pilih tajuk semangat jihad. Tadabbur 22:78. (Tautan ukhwah ni buat setiap hari jumaat antara pelajar perempuan. Boleh take over musolla lelaki sebab masa tu dorang pergi solat jumaat. Best! :D )

Kalau rasa down, saya suka tilik ayat tu. Suka sangat. Tapi...

Ya, tapi bila nak sampaikan melalui bicara kat orang lain, Ya ALLAH. Saya kesian benar dekat kawan-kawan yang mendengar. Ayat Quran tu tersangat cantik, penuh makna, tapi saya dapat kupas sikit je.

Berbeza dengan orang yang memang logamnya pada kata-kata, insyaALLAH dapat gunakan masa yang sama tapi terkesan di hati orang yang mendengar.

Bersalah rasanya. Hmm..

Moga ALLAH terima amalan yang mungkin tak sampai sebesar biji sawi ni.

Teringat kisah Umar al-Khattab. Dia bengis sewaktu jahiliyyah, dan ketegasan tu tak luntur bila ISLAM jadi pegangan. Dia tak campak logam (kelebihan) tu bila ISLAM datang, tapi dia gunakan untuk ISLAM. Ya, sebab dia faham.

Moga kita juga faham. 'Kalau ALLAH nak bagi kebaikan, ALLAH bagi kefahaman dalam agama'.

Kalau kita petah berbicara, lontarkanlah kata-kata itu kerana ALLAH.

Kalau kita lancar tintanya, tulislah sesuatu untuk ISLAM.

Kalau merdu suaranya, jentiklah hati-hati yang mendengar alunan itu untuk dekat pada ALLAH. Contoh macam maher zain ke, dawud wharnsby ke, zain bhika ke. Tapi untuk perempuan ada batas la kan. Jangan risau, ALLAH tu adil, mesti ada logam lain tu.

Jangan jadi, scum as the scum of the flood. Jangan sesekali jadi salah seorang daripada spesies tu. Banyak tapi tak berguna.

Logam pun ada harganya. Terpulang kita nak jadikan logam kita sehebat lamborghini atau sekadar besi buruk.

* Logam = kelebihan.

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Saturday, October 8, 2011

Pegang kuat-kuat


Saya tenung kertas tu. Terlekat di pintu peti sejuk bersama 4 ekor penyu magnet, seekor memegang setiap penjuru kertas.

Penyu itu berlainan warna. Pink, ungu, biru dan hijau. Konon-kononnya setiap satu mewakili ahli 2-2-A2.

Saya panggil kawan sebilik.

'Awak, agak2 apa significant penyu2 ni?'

'Ukhuwwah kita kot. Awak?'

'Hmm..bagi saya, ibarat kita berempat sentiasa pegang dengan waktu solat'. Dalam hati menyambung, 'bukan setakat kita, tapi semua muslim'.

InsyaALLAH.

Kertas tu jadual waktu solat bulan ni. Kalau tak salah, satu rumah ada satu jadual. Dalam 5 waktu solat, waktu solat maghrib paling glamour kot. Waktu buka puasa, semua orang nanti-nantikan.

Tapi kalau waktu zohor dah masuk, ramai yang akan jeling waktu solat asar. Selagi tak masuk waktu asar, selagi tu boleh buat kerja lain sebelum solat zohor. It's common!

Ibarat dalam pertandingan larian. Lebih rela tercicir di belakang, asalkan masuk bertanding. Tapi orang pandang ke loser?

Jadi, kalau solat kita kat akhir-akhir waktu, apa pandangan Allah kat kita ye? Wallahua'lam.

Narrated (Abdullah bin Mas'ud):

I asked the Prophet (PBUH):
"Which deed is the dearest to Allah?"
The Prophet (PBUH) replied:
"To offer As-Salat (the prayers) at their early stated fixed times."

[Bukhari]

Menyelak kalam cinta dari-NYA pula,

'Peliharalah semua solat..' [2:238]

'Hafizu' tu maknanya, carefully protect, being regular.

Tepatilah janji temu dengan Kekasih Yang Satu. Be punctual! Pegang kuat-kuat senjata kita tu :)

p/s: teringat kenangan dulu dulu setiap kali ayah kejut bangun subuh, respon yang common, 'jap ayah, 5 minit lagi, 5 minit lagi'

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Thursday, September 15, 2011

Tak sempurna

Semalam ada photo session.

Saya pakai tudung berwarna X. X itu warna tudung yang selalu saya elakkan sebab rasa gelap gelita muka bila pakai.

Saya pakai baju cotton yang keras. Bila saya berjalan nampak macam pokok bergerak.

Sengaja pilih. Allah yang gerakkan hati ini. Kawan-kawan saya semua comel molek lote.

Semalam setelah berzaman tak pergi cafe, saya jejakkan kaki untuk beli satu plastik tempe goreng. Konon-kononnya nak menikmati sambil duduk dekat bintang walk. Tengah makan, tiba tiba hujan lebat.

Semalam juga skru spect saya tercabut. Jadi dalam kelas chemistry saya pakai spect bertangkai sebelah. Kadang-kadang spect nak tercabut sebab saya (selalu) tersengguk-sengguk. Mujur Azneen kat belakang rajin menepuk. Thanks Neen!

Lepas habis kelas, housemate ajak main badminton. Dah bertahun kot tak main. Punya excited. Housemate lagi sorang pesan, 'Yana jangan lompat tinggi-tinggi sangat'.

'Kenapa?'

'Awak tu pakai baju kurung, bahaya!'. Oh ya, saya pakai baju ke kelas tadi. Mula-mula main dekat court, tapi angin kuat. Beralih ke belakang apartment kedai, tak ada orang lelaki. Jiran je yang boleh nampak.

Alhamdulillah. Walaupun hari ni nampak serba tak kena, semua macam tak sempurna, tapi yang uniknya, setiap ketidaksempurnaan itu ada hikmah.

Walaupun pakai baju yang keras macam pokok bergerak, tapi bila kena hujan, baju tu main peranan. Tak ikut bentuk badan.

Walaupun warna tudung tak sesuai dengan kulit, walaupun spect patah, walaupun main badminton pakai baju kurung, walaupun main badminton tanpa net belakang rumah kedai, tapi tetap ada hikmahnya. Percaya la, susunan ALLAH itu tercantik. Sangat indah.

Kadang kadang kita tak suka sesuatu, padahal ianya baik untuk kita dan sebaliknya :) Setiap yang Allah ciptakan, tak ada yang sia-sia, bahkan sebutir pasir pun ada manfaatnya.

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Sunday, September 11, 2011

Rasa 'down' gila


Kalau sekarang saya katakan, 'ahh aku down gila la sekarang', maka saya patut sembunyi belakang great wall of china kerana saya WAJIB rasa malu.

Kalau orang tanya pula, 'eh asal kau rasa down ha?'

'Result exam aku hancusss, rasa cam dah tak berguna. Penat aku study pagi petang siang malam, tapi dapat ni je. Give up ahhh!'. Dan jika itu jawapan yang saya berikan, saya perlu menyorok dalam batu kot sebab malu itu WAJIB menebal.

Bukan malu sebab dapat result yang memang menjunam ke tanah. Tapi WAJIB malu sebab kita rasa down dengan benda yang kecil, sangat remeh.

Malu dengan anak kecil di palestin yang telinga mereka disaji dentuman bom, tapi hati mereka besar. Tak pernah rasa give up, malah semangat jihad tu makin membara sebab mereka tahu ALLAH bersama mereka. Mereka PERCAYA dan YAKIN usaha mereka tak sia-sia.

Jadi sekadar gagal dengan ujian-ujian bertulis yang masih diberi kesempatan untuk kita berusaha, kita dah DOWN, bernilaikah kita dalam hidup ni? Ayuh, buka mata. Buka luas-luas. ALLAH tak pandang berapa A* kita dapat, tapi ALLAH nilai macam mana kita dapat A* tu.

Bukalah hati, buat kerana-NYA.

'Aku tidak menciptakan jin dan manusia selain untuk beribadah kepada-KU' [Az-Zariyat: 51:56]

Menuntut ilmu itu ibadah. Tapi bila kita dah lupa Pemberi Rezeki dalam melaksanakan 'ibadah' tu, apa nilai 'ibadah' kita tu? How will we face HIM once the day come, the day that we can't deny the truth? HOW?! Nak persembahkan apa?

Jangan rasa down tu membuatkan kita betul betul down di depan-NYA. Bangkitlah. Kerana itu tugas kita :)

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Saturday, August 20, 2011

Tahajud dan kuih raya


Semalam buat cookies. Rasanya dah 18 tahun hidup, ni baru first time join buat kuih raya. Sebabnya kuih raya itu ialah COOKIES! haha.

Kenapa dengan cookies? Sebab nak membentuk doh tu tak payah buat proper sangat. Lagi tak cantik, lagi menarik. Ye dak? Cookies roti boy pun tersangat la irregular shapenya kan kan kan. Tapi nampak sedap je ;)

Mak saya geleng kepala tengok cookies saya. 'Buat la cantik cantik sikit'. Haha.

Suggestion untuk students yang baru lepas exam, buat la cookies. Boleh release stress. Nak buat bentuk burette ke, termometer ke, microscope ke. Hah, semua boleh. Lepas tu makan sorang sorang, sebab mungkin orang lain tak tergamak nak makan :D

Pelik kan, orang mesti pandang luaran. Padahal rasa sama je. Influence of first impression. Teringat masa mula mula kenal kawan kawan KTT. Hampir semua 1st impression saya kat orang, totally meleset! Anak orang kaya, siap ada driver, tapi lead life macam orang biasa. Pemurah, peramah. Subhanallah!

Hari ni pulak mak dengan akak buat samprit & tart. Saya awal awal surrender. That's not my passion. Nak saiz, bentuk, rupa semua samaaa. Bunga, semua kena cukup kelopak. Aishhh, belum terbuka hati nak buat.

So, apa kaitan kuih raya dengan tahajud ni?

Bila orang sibuk cakap nak kejar lailatul qadr, kita pun nak jugak. Macam mana nak dapat malam tu. Oh orang cakap kena bangun malam malam. Lepas tu solat sunat, mengaji.

Tapi bila kita nak buat, ahhh susahnya! Dah sedap sedap tidur, nak kena bangun pulak. Tengok tengok sambung tidur dalam sujud.

Kenapa ye? Sebab CINTA tu kosong. Ya, kita nak buat untuk dapat pahala berlipat lipat yang kita fikir sangat sangat profitable untuk diri kita. Tapi dalam asyik duk buat buat, kita lupa sebenarnya kita buat untuk siapa? untuk diri kita ke? Atau untuk Yang lebih layak mendapat pujian? Sebab Dia yang menciptakan kita? Sebab Dia kita ada, kita kena ingat.

Jadi setinggi mana effort kita untuk meraih gandaan pahala, kita kena cintakan Pemberi pahala tu.

Macam kuih raya. Kalau kita buat sebab orang lain buat, kita akan rasa macam beban.

'Eh kenapa orang lain dah buat banyak, aku buat baru secoet je'

'Ala kenapa bentuk kuih aku ni tak cantik macam orang lain'

Ahh banyak benda yang tak kena, asyik nak fikir pasal orang lain. Tapi bila kita buat sebab DIA, insyaALLAH semua fluent.

Macam study juga. Study, study, study..untuk apa? Dapat straight As? Nak jadi doktor? Lepas dah jadi doktor? Think. Is it supposed to be the same as you want it to end here :)

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..

1st summary: Saya cakap dengan akak, nanti saya mau anak saya buat cookies sendiri. Bancuhkan doh, suruh dia bentukkan ikut suka. Bawa bekal pergi sekolah, home-made cookies :D Jimat belanja..haha. Rasanya macam chipsmore je ;)

2nd summary: aroma muffin detected! Makan bukan untuk hidup, tapi untuk menghidupkan ibadah dalam hidup :)

3rd summary: Nashwa dah pandai meniarap! dah pandai borak borak ikut 'bahasa' dia. Tahun depan dah boleh join buat cookies :D Saaaaaayang nashwa <3


Friday, August 19, 2011

Hari ini..lets call it a day!


The last day for internal exam. Tu diaaaa, PHYSICS!

Masa jawab sengih sorang sorang. 2 3 minit nak habis waktu dah relax. Pelik, biasa kelam kabut gundah gulana tak cukup masa. Tapi kenapa paper ni rasa macaaaam..

Selak selak kertas, oh ALLAH.. lagi satu soalan structure bercabang cabang tertinggal. Patut la, tu penangan nak balik punya pasal. Tup tap tup tap, siap! Sambung senyum, sebab nak balik. ALHAMDULILLAH ;D

Tunggu teksi. Tunggu komuter. Tunggu beratur beli tiket LRT (mesin tiket rosak, awesome!). Jumpa akak. Jumpa kak ika. Tunggu abang and nashwa. Together, heading home. ALHAMDULILLAH :)

First day breakfasting with usrah. Bukan usrah badar KTT, tapi usrati habibati fi baiti, mantop. ALHAMDULILLAH. (Miss the moments breakfasting with I, S, Y)

Naik motor dengan ayah. Tengok langit.

Kalau time sekolah dulu, tunggu ayah balik surau lepas maghrib, naik motor pergi tuisyen sambil tengok langit. Hari tu ada bintang tak, banyak tak, bulan comel tak. (Tadabbur Al-Mulk: 5)

Tapi hari ni naik motor dengan ayah pergi beli bahan nak buat kuih raya. Tengok langit. Tanpa tiang. Ijok & Sepang berkongsi langit yang sama. (wondering, India and Malaysia are just sharing the same 'roof', without complaining the inequalities they gained because all of us just get the same, equally distributed rizq from HIM)

And one more 'magic thing' is, bila kita berjauhan dari keluarga, kita akan meletakkan pergantungan sepenuhnya pada ALLAH untuk menjaga keluarga kita sebab kita tahu, '..DIA tidak merasa berat memelihara keduanya (langit dan bumi)...'

sebab? kerana '..DIA Maha Tinggi, Maha Besar' berbanding dengan kita yang terbatas segala-galanya. kerdil pancaindera, just having infinity of pico senses. (Tadabbur Al-Baqarah: 255)

Kalau bercinta, mesti la sentiasa teringat ingat kan kan kan. Ada satu cinta ni, confirm insyaALLAH berbalas.. Kenapa? kerana 'Maka ingatlah kepada-KU, aku pun akan ingat kepadamu'. (Tadabbur Al-Baqarah: 152)

Haaaa kan ALLAH dah janji. So dont worry guys, just pour our love to THE ONE that will spread HIS love throughout our souls, our lives.

Selamat menikmati sisa ramadhan :) Selamat memburu lailatul qadr ;)

Oh ya, hidup ni indah bila setiap kali kita diuji, kita sulami dengan senyuman dan kalam ALHAMDULILLAH sebab diberi peluang membuktikan keimanan kita. (Tadabbur Al-'Ankabut:2)

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..

p/s: setiap kali rasa susah, hati akan tenang bila ingat janji ALLAH, 'innallaha ma'ana'


Sunday, June 26, 2011

Broom brooom

Jom jalan jalan sambil garap ilmu!

Insya-Allah 27 jun ni saya masuk alam baru. Alam rumah tangga. Hah?! O__o

Eh betul la. Ada rumah ada tangga..siap ada teman sebilik lagi tu! Yang pastinya dia sejantina, perempuan.

Doakan saya ye. Saya sangat sangat hargai pacuan doa daripada semua. Terima kasih ya!

p/s: pic taken @ One Borneo, 100611..best betul bawa kereta boleh langgar sana sini. Tapi hakikatnya tak ke mana. Macam hidup tak berperaturan la, buat itu ini tapi zero.

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..

Wednesday, June 1, 2011

Sebulan sehari, sayang


Alhamdulillah.

Saya ingat lagi pertama kali nampak dia.

13 Februari 2011 [10 Rabiulawal 1432]
Terus jatuh hati. Tapi dia malu malu. Siap tutup muka dengan tangan. Emak dan ayah pun berkenan dengannya, senyum sampai ke telinga. Romantiknya saat tu!

Setiap hari saya nak tahu perkembangan dia. Tak sabar nak berpegangan tangan.

20 Februari pula saya dapat gambar 4D dia. Tiap-tiap hari duk menatap, sambil tersengih sorang sorang. Rindunya, bilalah dapat jumpa!

23 Mac, sepanjang hari saya asyik teringatkan dia. Kalau boleh saya nak dia bawa saya lari ke daerahnya. Tempat persembunyian yang selesa :)

29 April, ada majlis di sekolah. Saya serahkan trofi dan sijil kepada emak sambil mengucapkan, 'Mak, untuk mak. Hadiah hari lahir!'. Tapi saya tahu tak lama lagi emak akan terima hadiah laaaagi special dari Allah.

30 April, hari lahir emak. Kalau ikut perancangan nak celebrate di Brisdale. Kami adik beradik dah plan macam macam. Tapi tak jadi, kami dapat panggilan lebih penting.

Ya, kami ke sini.

Di situ, saya dapat rasa tak lama lagi kami dapat berjumpa. Hati berdebar-debar. Ramai menjangka kami akan bertemu pada 30 April. Tapi Allah itu Perancang terhebat. Sekadar perancang kecil kecilan macam kami ni, selalu saja meleset daripada apa yang dijangka.

1 Mei, pukul satu pagi. Terharu + gembira. Mata bergenang. Subhanallah Subhanallah Subhanallah.

Dia yang dinanti-nanti.

Alhamdulillah, inilah insan yang berjaya membuat saya cemburu sangat sangat. Dia bersih suci, saya penuh dengan karat dosa. Malu dibuatnya saya dengan dia, dengan Allah apatah lagi. Astaghfirullahal 'azim.

Hadiah hari lahir terindah buat emak. Title NENEK. Selamat menjadi nenek, emak :)

1 Mei, hari pekerja. Satu Malaya bercuti. Tapi tugas saya bermula, sebagai seorang ibu saudara.

Hari ni, genaplah sebulan sehari mengenal alam baru. Menjadi Ummi Na ;) Alhamdulillah.

'Kemudian, air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik.' [Al-Mu'minun: 14]

p/s: Nashwa, Ummi Na tak pasti 18 tahun lagi Ummi Na masih ada di sini atau tidak untuk mengatakan, Ummi Na sayang Nashwa hingga jannah. InsyaAllah. Selamat menjadi hamba, sayang :)

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Saturday, May 28, 2011

3 hari ala-ala doktor [muka surat 3]


3 hari ala-ala doktor
3 hari ala-ala doktor [muka surat 2]

110527 @ 0830-1630

Pagi-pagi tu kecewa sikit sebab kami tak dapat ke bahagian kecemasan. Kalau ikut jadual kami sepatutnya ke bahagian Accident & Emergency (A&E) seterusnya forensik.

Tapi A&E ada buat program kesedaran berkenaan kecemasan dekat lobi hospital. Jadi kami pun kena join program kat situ sebab nak lawat bahagian A&E tak boleh tengok apa-apa pun, semua doktor dekat lobi. Ada tetamu kehormat, kalau tak silap saya timbalan pengarah kesihatan.

Tak ada apa-apa yang baru cuma dapat buat check up. Tekanan darah, gula, berat badan dan ketinggian. Lepas tu tengok cara-cara nak bantu infant yang tercekik, untuk orang dewasa pun ada juga.

Doktor pun tunjuk macam mana nak selamatkan orang yang dipatuk ular (sementara tunggu bantuan dari hospital sampai). Jangan sesekali ikat kaki (kalau kena patuk di kaki) mangsa cuma jangan bagi mangsa gerakkan kaki supaya bisa tak merebak. Kalau kita ikat kaki mangsa, darah pula yang tak jalan. Buatnya ular yang mematuk tu tak berbisa, tak pasal pasal kaki mangsa kena potong juga!

Oh ya..lagi satu doktor pesan, 'jangan tunjuk lagak macam hero filem hindustan nak memandai sedut bisa mangsa, kang daripada satu mangsa jadi dua mangsa' :D

Sebelah pagi, tu je program kami. Lepas solat zohor ni yang tak sabar sabar. Nak ke bahagian forensik.

Sampai ke bahagian forensik, kumpulan kami berpecah kepada dua kumpulan. Lelaki dan perempuan disaingkan. Sementara kumpulan lelaki masuk bilik mayat, kami dengar briefing daripada doktor pakar. Memang seronok dengar doktor tu bercerita. Sarat dengan ilmu.

Yaaaa, lepas tu giliran kami pula masuk ke bilik mayat. MA yang guide kami sebab doktor dah letih bawa kumpulan sebelum tu. Macam macam baca sebelum masuk tu. Bukan terus masuk bilik mayat. Mula-mula tengok tempat post mortem dijalankan. MA terangkan alat-alat yang digunakan nak belah dada, kepala, tengkorak...

Kalau kes bunuh yang melibatkan hentakan di kepala, bila keluarkan otak, tengok pada gerakan otak (saya tak pasti la gerakan yang macam mana) je doktor boleh kesan sama ada mangsa dipukul dari hadapan, belakang atau pun mangsa sendiri yang hentakkan kepala. Secara kasarnya macam tu la. Tapi ada doktor yang dah berpengalaman, tengok dari fizikal mangsa dia dah dapat agak punca kematian.

Ada 3 bilik post mortem kat situ. Lepas tu kami ke bilik mayat. Muslim dan non muslim diasingkan. Sejuk dan bau pun lain sikit. Saya tak tahu nak tafsirkan baunya macam mana.

Mayat pertama yang kami tengok, mayat lelaki warga asing. Dah sebulan dia di situ. Kalau tak silap saya peti yang menempatkan mayat lelaki tu, suhunya 3`C. Macam suhu peti ais rumah kita kot.

MA tu tanya, 'nak tengok muka ke?'
Semua serentak geleng, 'tak apa la, tak apa, tak payah la' :))

Nampak kesan jahitan kasar dekat kepala, bersambung ke leher, dada hingga ke perut kalau tak salah saya. Ada kesan seretan jalan raya kat perut. Rupa-rupanya mangsa kemalangan jalan raya. Sebelah kakinya patah.

Lepas tu ke tempat mayat yang dah reput. Dapat tengok dua mayat.

Mayat india lelaki. Berbungkus dalam plastik hitam berzip. MA dah cakap awal-awal, agak berbau 'sikit' yang ni. Sebelum buka zip dia cakap, 'tak tahu la ada ulat ke tak ni'. Masing-masing pandang satu sama lain :D

Bau dia memang lain dan semua makin berundur, setapak setapak. Tentang fizikal, kami tengok sekejap je. Susah nak gambarkan.

Lagi satu mayat bayi. Kalau tak salah saya dalam lingkungan 2, 3 bulan. Kalau ikut laporan polis, bayi tu ditanam hidup hidup di belakang rumah suspek. Suspek, ibu bayi tu sendiri. Wallahu a'lam.

Katanya, bayi tu dimasukkan dalam kotak kayu lengkap dengan keperluan asas macam botol susu, lampin dan macam macam lagi. Seolah-olah macam bayi 2 bulan tu boleh berdikari dalam lubang sempit tu. Lepas tu ibu bapa mangsa tak dapat dikesan, berkemungkinan melarikan diri. Wallahu a'lam. 5, 6 hari lepas tu baru polis jumpa mayat, hasil bantuan jiran.

Bertugas di bahagian forensik paling tenang berbanding dengan bahagian lain sebab tak ada complaint dari 'patient' :D Memang sunyi.

Lepas lawatan ke bilik mayat, memang terkesan di hati. Satu peringatan dari ALLAH. Dari-NYA kita datang, kepada-NYA kita kembali.

Tak kira la bangsa, agama apa pun sebab kita semua makhluknya. Semua milik DIA, itu yang pasti. Satu hari nanti, PASTI kita juga dijeput ke 'sana'. Bagaimana caranya? Wallahu a'lam. Berdoalah untuk dapat yang terbaik, husnul khatimah. Mungkin esok, mungkin juga lusa. Tak mustahil sebentar lagi.

Alhamdulillah, suka saya kongsikan pengalaman yang tak seberapa sepanjang 3 hari ni. Mana la tau, tahun depan ada junior yang perlu hadir ke program ni, sekurang-kurangnya dah dapat bayangan awal kan.

Doakan perjalanan panjang saya selepas ni ya! Moga mujahadah kecil ni dipandang oleh-NYA, insyaALLAH.

p/s: balik je hospital hari ketiga tu, akak saya kata bau saya lain T____T

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Friday, May 27, 2011

3 hari ala-ala doktor [muka surat 2]

3 hari ala-ala doktor

110526 @ 1030-1730

Saya sangat sangat la excited menanti hari kedua ni. Dalam jadual, hari ni kami akan ke bahagian O&G, ortopedik dan pembedahan am.

Ya, O&G! :)

Waktu bahagian O&G, kami dibawa ke wad, labour room dan klinik. Puas hati! Cuma masa tu tak ada yang dalam proses nak bersalin, jadi tak dapat tengok live orang meneran. Kumpulan lain ada yang berpeluang! Bertuah bertuah.

Saya paling teruja bila masuk labour room. Masa Nashwa lahir teringin sangat nak tengok macam mana keadaan dalam labour room tu tapi abang saya je la boleh masuk. Jadi bila dah dapat peluang ni memang rasa nak lonjak lonjak guling guling :D

Ke wad pula, berselisih dengan specialist O&G. Dia pesan, "don't be a doctor!" ;))
Katanya, sampai sekarang dia masih menyesal jadi doktor. Tapi dah jadi doktor pakar?!

Lepas tu jumpa dengan H.O.D of O&G. Lagi dahsyat kena brainwash.

"Doktor sekarang lembik-lembik"


"Kalau belajar enam tujuh tahun hanya nak buka klinik check orang batuk selsema sakit mata, baik tak payah!customers warung mamak lagi ramai daripada clients you!"

"You all tahan ke bila dah jadi surgeon, operation ada yang makan masa 16 hours non stop?! Sanggup on call pukul dua tiga pagi?!"

"Nanti dah kahwin anak berderet dengan tak ada maid lagi semua jadi haywire pastu berhenti kerja. Buang masa belajar lama lama"

Dan banyak banyak lagiiii. Tersentap juga lebih lebih lagi bila dikaitkan dengan soal penampilan (insyaAllah dalam entri lain saya cerita). Tapi bila dah habis serap, jadi burning desire :)

Saya tak lupa akhir sekali dia ingatkan,
"Doctor is not a glamorous job but a tough one. Jadi fikir baik baik sebelum pilih jalan ni. Kalau setakat bayangkan dollar sign, tak payah jadi doktor. Pergi ambil engineering. Belajar tak seksa, cepat kaya"

Ada juga doktor pakar yang pesan,
"Saya selalu pesan dekat housemen saya, mereka sebagai student medic is the lowest rank in the hospital, even mak cik cleaner is higher than you!"

Memang betul la. Jadi houseman 2 tahun memang dianggap macam kuli hospital :( Depan orang lain pun kena marah (atau dalam kata lainnya, maki) dengan MO. Aishhh..siapa tak tahan memang mengalir la.

Lepas tu ke bahagian ortho pula. Sama juga, kena hentam :D

Dr. Khairul (kalau tak salah saya) yang guide kami. Dia baru 6 bulan jd MO. Cerita liku-liku (semua berliku-liku, tak ada yang straight). Siap senaraikan risiko-risiko bila dah jadi doktor.

Kemudian bahagian pembedahan am. Jumpa doktor Mat Salleh (tapi dia melayu asli). Doktor tu baru selesai buat pembedahan. Jadi muka pun nampak letih, suara pun tak bermaya. Lepas tu dia kena pergi meeting lagi.

Jam dah pukul lima lebih. Namun, tugas doktor tak berhenti, bukan ikut waktu pejabat.

Kadang-kadang saya teringat objektif program ni 'mendedahkan realiti kerjaya seorang doktor'. Adakah tugas doktor itu berhadapan dengan susah payah belaka?

Kalau kita sabar mungkin di sini susah tapi di 'sana' indah. Wallahu a'lam.

p/s: hari tu kami tak jumpa sesiapa yang meyakinkan kami untuk jadi doktor. Tak ada yang cakap, 'jadi la doktor, kamu tak akan menyesal' T____T

Bersambung..insyaAllah

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Thursday, May 26, 2011

3 hari ala-ala doktor


Assalamu'alaikum :)

25-27 Mei lepas saya ada program pendedahan kerjaya seorang doktor. Orang lain terus update, tapi dah nak basi cerita ni baru saya nak kongsi. Biasa la kan :D

Ni program under JPA. Nak tak nak, wajib hadir . Jangkaan saya tentang program ni meleset 88% kot ;)) Oh ya, saya pilih Hospital Sungai Buloh sebab senang nak ulang alik.

110525 @ 0900-1500

Jalan jalan klinik pakar. Bahagian ophthalmology, dermatology, obstetrics & gynecology dan macam macam lagi gy gy gy. Hari pertama ni staff nurses yang bawa kami ronda ronda.

Oh tapi klinik mata (ophthalmology) lalu je, tak boleh masuk. Padat dengan pesakit. Mujur la minggu sebelumnya saya temankan ayah check up mata dekat situ, jadi tak terkilan sangat (pujuk hati sendiri). Kalau klinik mata ni prosedur banyak sikit sebab tu sesak. Lepas test mata, titik ubat, ambil gambar mata, baru boleh jumpa doktor. Pesakit berdereeeet.

Bahagian orthopedic tak dapat tengok apa apa (tengok klinik dengan nurse kat situ je) sebab semua procedure dah habis, patient pun dah tak ada.

Hah yang seronoknya dekat bahagian ID (infectious diseases). Masa kami masuk tu ramai lagi patient. Dapat tengok macam mana pengambilan darah pesakit HIV, live. Macam mana cardiac stress test dibuat (untuk uji keupayaan jantung). Alhamdulillah, pengalaman baru.

Hari pertama ni kurang lancar. Jadual kami mula dari hari selasa. Jadi, hari isnin tu balik awal. Dengar cerita students yang ke Hospital Serdang siap dapat lab coat dan tengok pembedahan untuk buang kelenjar peluh lagi tu masa hari pertama!

Bersambung..insyaAllah :)

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Saturday, May 14, 2011

Monolog dalaman Nashwa: Rambut

Assalamualaikum.

Nama saya Nashwa! Nashwa pinjam blog ni, lagipun dah lama tuannya tak update update. Baik Nashwa guna kan kan kan.

Hari ni Nashwa nak cerita pasal rambut. Rambut Nashwa la.

Nak tau tak, mula mula keluar dari rahim Mami kan, rambut Nashwa fuhhh keriting! Macam maggi. Orang cakap macam Baba (Baba pun dah mula bangga, haha).

Lepas tu, hari kedua, rambut Nashwa dah lurus. Macam buat rebonding tu. Tapi ni ori, Allah bagi. Percuma je, jimat kan.

Unik kan ciptaan Allah :)

Nashwa tak kisah sebenarnya macam mana pun rambut Nashwa. Lagipun rambut Nashwa sentiasa bertutup. Nenek selalu pesan kena tutup ubun ubun Nashwa ni.

Hari tu kan, Nashwa tersentuh bila atuk pesan, 'kecik kecik ni tutup litup, nanti dah besar jangan buka aurat ye Nashwa..kalau boleh pakai tudung labuh macam Ummi Ra'.

Nashwa tiba tiba teringat pesan Allah dalam surah An-Nur ayat 31;

'...dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasan auratnya...'

Tengok ni, kalau Nashwa kecik kecik pun boleh tutup aurat, makcik makcik kat luar sana pun mesti boleh kan. Nashwa risau ni...

Yela, tengok dekat FB tu, ishhh (eh jangan ingat Nashwa tak tau FB tu apa tau..Nashwa siap ada group lagi kat FB tu, hehe)

Susah hati Nashwa dibuatnya bila tengok gambar makcik makcik dedahkan rambut. Sayang tau bagi orang lain tengok. Malu malu malu.

Lepas tu kan, ada pula yang pakai tudung tapi tak melepasi dada. Sorry kalau Nashwa cakap terus terang, yela Nashwa kan kecik lagi, tak pandai selindung selindung. Lagipun Nashwa sayang makcik makcik semua sebab tu Nashwa tegur.

Walaupun Nashwa baru 15 hari dekat dunia ni tapi Nashwa pun daie. Kena amar ma'ruf nahi munkar jugak kan.

Oh ya, sekarang Nashwa dah botak tau, kena cukur. Semua orang suspen tunggu rambut Nashwa akan datang. Tapi Nashwa relax je, lena je tidur sebab Nashwa tak kisah. Keriting ke, lurus ke, bertingkat-tingkat ke..Nashwa tak kisah. Tu kan nikmat Allah.

Yang penting Nashwa nak tutup aurat! Bila dah tutup akan bertambah cantik :) Allah pun sayang. Betul tak?

Ok la, salam sayang untuk makcik makcik semua. Jom tutup aurat!

Doakan Nashwa jadi anak solehah ye ;)

p/s: Nashwa letak satu je gambar Nashwa sebab nanti letak banyak banyak dengan macam macam aksi boleh jadi fitnah untuk lelaki tau. Nashwa takuuuut.

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..

Thursday, March 10, 2011

Ice-skating ukhwah kita


Sampai sekarang saya masih ingat. Waktu sekolah rendah agama, saya lebih banyak main daripada belajar. Saya paling suka hari Jumaat. Ya, sebab sementara menunggu pelajar lelaki solat jumaat di masjid, kami, perempuan ada projek hebat!


Dulu burung selalu qada' hajat dekat belakang kelas kami. Lepas cuci lantai sama-sama, kami berlagak macam main 'ice-skating', konon-kononnya la. Lagi banyak guna sabun, lagi licin la lantai kan. Kalau nak ekstra licin, ada yang 'rajin' bawa bedak, tabur lagi atas lantai. Memang melayang!

Satu hari, tengah syok main gelecek berjemaah, ustazah masuk kelas!

Berasap je ustazah tengok. Apa lagi, kena la kami. Masa tu kecil hati dengan ustazah. Malu! Sebab waktu tu ada seorang pelajar lelaki baru balik dari masjid. Dan dia dengar, jelas dan terang kami kena marah. Saya harap dia tak ingat lagi peristiwa tu.

Tapi, bila saya kenang-kenang balik, saya nak ucapkan "TERIMA KASIH, USTAZAH!".

Terima kasih kerana lontaran kata ustazah yang masih melekat dalam hati ini mengajar kami mengerti apa itu malu. Peluru teguran yang dikira panas waktu dulu, menyejukkan akhlak kami agar bergerak bersandarkan syariat. Bait bicara yang membuatkan kami muncung tajam, menjadi rencah untuk tersenyum sendiri tatkala dikenang.

Ya, kami memang nakal. Nakal-nakal pun ustazah sayang kami. Sebab sayang la kami dimarahi. Dek kerana itu la kami masih ingat ustazah sampai hari ni :)

p/s: Cik Anis Farhana mesti ingat lagi 'tragedi' tu..hehehe ;p

Mengejar jannah abadi..

Innallaha ma'ana..


Tuesday, February 8, 2011

Iman, adik yang cekal


Saya melangkah ke meja di ruang tamu. Saya senyum padanya. Masih tersarung uniform sekolah di batang tubuh kecil itu. Dia memandang saya. Hendak membalas senyuman, tapi seakan ada sekatan. Memandang umminya, lalu kembali menatap lembaran di hadapan.

"Hah, dik. Tolong ajar Iman ni ye," kata maksu setelah sedar kehadiran saya.


"Oh, ok!" balas saya. Makcik saya berlalu ke dapur.


Dalam masa lebih kurang 15 minit, Iman menutup bukunya. Alhamdulillah, selesai! Saya hanya membimbing dan memberi tips yang perlu. Iman yang menyelesaikan, dia juga yang mencari jalan keluar.


Dia istimewa bagi saya.


Dia bukan pelajar yang sepanjang tahun menggenggam A yang berderet. Bukan juga kanak-kanak yang lancar berkata-kata tanpa kesalahan tatabahasa. Bukan seorang yang 'cepat tangkap'.


Tapi kenapa dia istimewa? Kerana dia insan yang biasa-biasa yang punya semangat luar biasa. Dari bawah dia cuba bangkit. Rutin hariannya padat.


Pagi, ke sekolah kebangsaan. Balik, terkocoh-kocoh mandi dan makan. Sementara menunggu ke sekolah agama, dia ke kelas mengaji. Balik sudah petang, dia segera menyiapkan tugasan sekolah di bawah pantauan maksu. Malam pula ke tuisyen (hari isnin dan selasa).


Hantar Iman ke sekolah. Teringat pula zaman saya sekolah rendah. Bermotor dengan emak :)
(gambar sebelah kanan, yang duduk di kiri tu kawan Iman)

Bukan mudah baginya dihimpit dengan kebolehan orang sekitarnya. Ramai yang berkata, adiknya lebih pintar. Si adik lebih pandai. Sepupu yang lebih muda lebih bijak berkata-kata. Terlintas di benak saya, apa perasaannya?

Tapi pada pandangan saya, dia tetap cuba menjadi yang terbaik. Bukan dengan menjadi orang lain, tapi menyerlahkan diri. Kalau tidak boleh jadi pelajar cemerlang, tak mustahil status anak solehah juga kita gagal raih, betul tak?

Jangan sangka yang di bawah tidak akan naik. Yang di bawah juga diuji, yang berada di kemuncak turut diduga. Cuma bentuknya saja yang berbeza. Jadi jangan begitu selesa dengan kedudukan kita kerana ianya mungkin ujian yang kita tak sangka. Ujian yang kita boleh gagal dalam sekelip mata.

Bersyukurlah. Itu yang ingin saya sampaikan. Jika 'yang di luar' bukan kelebihan kita, ingatlah, Allah menilai 'yang di dalam'.

Nur Iman Amany, teruskanlah kecekalanmu dik :)

Iman, 10 tahun akan datang, akak tak tahu bagaimana iklim sosial yang melanda remaja. Harapnya iman di dada itu akan dipelihara-NYA.

"Iman, belajar baik-baik ye," saya tersenyum apabila dia turun dari kereta. Lagi 10 minit kelasnya akan bermula.

"Ok!" senyumannya turut melebar.

Harapnya beberapa tahun akan datang dia tidak jemu mendengar nasihat dengan versi yang sama.

p/s: kadang-kadang 'diserang' dengan soalan matematik budak darjah 4, saya rasa tewas dan terdetik dalam hati, 'kenapa rasa lagi susah daripada soalan addmaths SPM?'


Mengejar jannah abadi..


Innallaha ma'ana..