Tuesday, February 8, 2011

Iman, adik yang cekal


Saya melangkah ke meja di ruang tamu. Saya senyum padanya. Masih tersarung uniform sekolah di batang tubuh kecil itu. Dia memandang saya. Hendak membalas senyuman, tapi seakan ada sekatan. Memandang umminya, lalu kembali menatap lembaran di hadapan.

"Hah, dik. Tolong ajar Iman ni ye," kata maksu setelah sedar kehadiran saya.


"Oh, ok!" balas saya. Makcik saya berlalu ke dapur.


Dalam masa lebih kurang 15 minit, Iman menutup bukunya. Alhamdulillah, selesai! Saya hanya membimbing dan memberi tips yang perlu. Iman yang menyelesaikan, dia juga yang mencari jalan keluar.


Dia istimewa bagi saya.


Dia bukan pelajar yang sepanjang tahun menggenggam A yang berderet. Bukan juga kanak-kanak yang lancar berkata-kata tanpa kesalahan tatabahasa. Bukan seorang yang 'cepat tangkap'.


Tapi kenapa dia istimewa? Kerana dia insan yang biasa-biasa yang punya semangat luar biasa. Dari bawah dia cuba bangkit. Rutin hariannya padat.


Pagi, ke sekolah kebangsaan. Balik, terkocoh-kocoh mandi dan makan. Sementara menunggu ke sekolah agama, dia ke kelas mengaji. Balik sudah petang, dia segera menyiapkan tugasan sekolah di bawah pantauan maksu. Malam pula ke tuisyen (hari isnin dan selasa).


Hantar Iman ke sekolah. Teringat pula zaman saya sekolah rendah. Bermotor dengan emak :)
(gambar sebelah kanan, yang duduk di kiri tu kawan Iman)

Bukan mudah baginya dihimpit dengan kebolehan orang sekitarnya. Ramai yang berkata, adiknya lebih pintar. Si adik lebih pandai. Sepupu yang lebih muda lebih bijak berkata-kata. Terlintas di benak saya, apa perasaannya?

Tapi pada pandangan saya, dia tetap cuba menjadi yang terbaik. Bukan dengan menjadi orang lain, tapi menyerlahkan diri. Kalau tidak boleh jadi pelajar cemerlang, tak mustahil status anak solehah juga kita gagal raih, betul tak?

Jangan sangka yang di bawah tidak akan naik. Yang di bawah juga diuji, yang berada di kemuncak turut diduga. Cuma bentuknya saja yang berbeza. Jadi jangan begitu selesa dengan kedudukan kita kerana ianya mungkin ujian yang kita tak sangka. Ujian yang kita boleh gagal dalam sekelip mata.

Bersyukurlah. Itu yang ingin saya sampaikan. Jika 'yang di luar' bukan kelebihan kita, ingatlah, Allah menilai 'yang di dalam'.

Nur Iman Amany, teruskanlah kecekalanmu dik :)

Iman, 10 tahun akan datang, akak tak tahu bagaimana iklim sosial yang melanda remaja. Harapnya iman di dada itu akan dipelihara-NYA.

"Iman, belajar baik-baik ye," saya tersenyum apabila dia turun dari kereta. Lagi 10 minit kelasnya akan bermula.

"Ok!" senyumannya turut melebar.

Harapnya beberapa tahun akan datang dia tidak jemu mendengar nasihat dengan versi yang sama.

p/s: kadang-kadang 'diserang' dengan soalan matematik budak darjah 4, saya rasa tewas dan terdetik dalam hati, 'kenapa rasa lagi susah daripada soalan addmaths SPM?'


Mengejar jannah abadi..


Innallaha ma'ana..